Saturday, October 5, 2013

myMetro : Harga arowana cecah RM40,000 seekor

myMetro -Agro:
Harga cecah RM40,000 seekor

"Bayangkan harga seekor anak ikan arowana Emas mampu mencecah antara RM2,000 hingga RM3,000 malah, harga ikan yang matang boleh mencapai harga antara RM20,000 hingga RM40,000 seekor," itu reaksi Raja PoP, Jamal Abdillah ketika ditanya mengenai keuntungan diperoleh penternak ikan hiasan itu. Pemilik nama Jamal Ubaidillah Ali itu adalah salah seorang selebriti tanah air yang menceburkan diri dalam penternakan ikan hiasan berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
Sambil menyifatkan ia satu industri yang memberi pula­ngan lumayan, Jamal menyeru golongan Bumiputera yang berminat menyertai industri itu.

Beliau melabur dalam perniagaan ikan arowana itu selepas cemburu melihat kejayaan pengusaha lain memperoleh puluhan ribu sebulan hasil jualan ikan hiasan berkenaan.

"Saya mengakui mulai tertekan dengan persaingan sengit kerana industri berkenaan kini boleh diibaratkan cendawan yang tumbuh selepas hujan.

"Saya juga tidak menafikan sejak menceburi perniagaan mengeksport ikan arowana ini, ia mampu mendatangkan keuntungan lumayan," katanya.

Katanya, ternakan ikan arowana adalah industri ikan hiasan yang semakin berkembang pesat di sekitar kawasan Bukit Merah, Perak malah banyak syarikat Bumiputera membabitkan diri dalam industri itu.

Jamal berkata, dia kecewa dengan segelintir syarikat Bumiputera yang bersikap sambil lewa menguruskan perniagaan ikan hiasan itu menyebabkan peluang itu diambil syarikat bukan Bumiputera.

Dia yang menceburi perniagaan itu sejak tiga tahun lalu berkata, pengusaha kolam ternakan ikan arowana perlu mempunyai sikap daya saing dan sentiasa mengutamakan perniagaan mereka," katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha ternakan ikan arowana, Ahmad Don berkata, dia mengakui pengusaha yang serius dalam industri ini boleh memperoleh pendapatan lumayan.

"Seekor anak ikan arowana bersaiz tujuh sentimeter panjang mampu dijual antara RM10 hingga RM2,000 bergantung pada jenisnya.

"Malah, jenis yang paling mahal iaitu arowana Emas yang mampu mencecah hampir RM2,000 manakala Arowana Perak (Silver) RM10 seekor," katanya.

Katanya, buat masa ini, 100 peratus pasarannya tertumpu kepada negara China, Taiwan, Jepun, Vietnam, Thailand dan Singapura. Kira-kira 2,000 ekor anak ikan itu dieksport ke China setiap bulan.

Ahmad yang juga Pengerusi Persatuan Penternak Arowana Utara Malaysia berkata, dia terpaksa mengeluarkan modal besar mencecah jutaan ringgit bagi mengusahakan ternakan itu malah dikenali sebagai antara perintis kepada penternakan ikan hiasan itu di Bukit Merah, Kerian.

"Buat masa ini saya memiliki 1,000 kolam ternakan dengan setiap kolam menyimpan 20 ikan induk yang dibela bagi tujuan pembiakan," katanya.
 
Sumber: Di sini. Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07
 
* Lama betul blog ini tidak berupdate. Selepas ini saya akan update selain mengenai info arowana, mungkin akan kongsikan juga tips usahawan berjaya dan kisah inspirasi jutawan ~Admin~