Showing posts with label Selaut Pengalaman bersama Arowana. Show all posts
Showing posts with label Selaut Pengalaman bersama Arowana. Show all posts

Wednesday, April 28, 2010

Keghairahan Jamal Abdillah kepada Arowana

"SAMPAI bila saya nak menyanyi?," soal Jamal Ubaidillah Ali atau Jamal Abdillah apabila ditanya mengapa dia menceburi ternakan ikan kelisa atau arowana, satu industri akuakultur bernilai tinggi.

Jamal membayangkan dia tidak mungkin menyanyi seumur hidup untuk menampung hidup meskipun kerjaya seni itu menjadikannya popular.

Dalam usia mencecah awal 50-an, sesuatu perlu dilakukan dan ternakan ikan menjadi pilihan memandangkan minatnya sudah lama di situ.

Jamal berterus terang bahawa minatnya dalam ternakan ikan telah berputik secara sekian lama. Pada awal 1993, dia membuka kedai haiwan peliharaan termasuk ikan akuarium di Kelana Jaya berniaga selama dua tahun sebelum menjualnya kerana kesibukan.


Namun, meskipun tidak lagi mengusahakan perniagaa kedai peliharaan, dia masih memelihara ikan sebagai satu daripada hobi. Malah, kerana minatnya yang mendalam kepada ikan aroawana, dia mempunyai akuarium sendiri yang menempatkan ikan kesayangannya itu.


Jamal berkata, jiwanya begitu tenang melihat ikan berenang damai dalam akuarium. Katanya, setiap kali kembali daripada konsert atau aktiviti luar, dia akan terus 'menyapa' ikan arowana yang dipelihara dalam akuarium. Ikan tersebut seakan menjadi penawar kepada jiwa resahnya. Barangkali dengan kesibukan, Jamal kelihatan lebih tenang dan damai memberi makanan cengkerik di dalam akuarium tersebut. Apatah lagi melihat ikan arowana yang mempunyai pelbagai warna menarik dan berkilauan menjadikannya teruja dan sangat menyeronokkan.


Tidak cukup dengan itu, Jamal mengorak langkah lebih jauh dengan menceburi ternakan ikan bernilai tinggi itu dengan melabur kira-kira RM360,000.00. Pelaburan tersebut membolehkannya memiliki 20 ekor arowana Super Red di samping 20 ekor Malaysian Gold. Bayangkan seekor ikan bernilai kira-kira RM5,000.00 bagi induk matang dan setiap ikan diletakkan cip sebagai pengenalan.

''Harapan saya mahu menjadikannya sumber yang menguntungkan boleh mencapai keuntungan RM1 juta jika semuanya berjalan dengan baik,'' katanya. Pelaburan itu dibuat selepas menerima pakej yang ditawarkan oleh Bukit Merah Aquaculture Sdn Bhd pada tahun lepas. Ladang ternakan ikan arowana tersebut terletak di Simpang Empat, Semanggol, Perak.

Syarikat tersebut ditubuhkan sangat tepat pada masanya Malaysia memberi keutamaan kepada ternakan ikan arowana dan Bukit Merah merupakan kawasan yang sesuai untuk ternakan dan menjadi tempat asal habitat ikan arowana di negara ini. Ternakan ikan arowana ini telah mula dijalankan di atas tanah seluas 34 ekar semenjak 2003 dan sejumlah 400 buah kolam telah dibangunkan untuk tujuan ternakan ikan arowana jenis merah dan emas.

Menurut pemilik ladang, Ahmad Don yang juga Pengarah Urusannya, ladang beliau berupaya untuk mengeluarkan 10,000 ekor anak ikan berukuran antara tujuh dan lapan sm setiap tahun. Pasaran utama anak-anak ikan ini adalah untuk eksport ke negara seperti Jepun, Hong Kong, China, Taiwan dan Kanada.

Ladang ini telah memperolehi sijil CITES yang membolehkannya menjalankan perdagangan ikan arowana ke pasaran antarabangsa.


''Saya membuka kepada pelabur menyertai program ini dengan harapan mereka mendapat keuntungan dengan menawarkan spesies Malaysian Gold,'' katanya. Spesies ini mendatangkan margin keuntungan lebih berbanding spesies lain. Pakej yang ditawarkan melibatkan 20 ekor spesies Malaysian Gold bernilai RM50,000.00 dengan ikatan kontrak selama tujuh tahun.

Pelabur mempunyai pilihan sama ada membayar makanan ternakan sendiri selama tempoh dua tahun setengah atau 30 bulan bernilai RM2,000.00 sebulan atau RM60,000.00 selama tempoh tersebut. Oleh itu katanya, selama tempoh ternakan 30 bulan itu, jumlah kos yang diperlukan ialah RM100,000.00 tetapi pelabur boleh memperoleh RM300,000.00 selepas itu.

Pada masa sama, anak ikan yang dihasilkan di bahagi dua antara pelabur dengan syarikat BMA.
Menurut Ahmad, beliau kini mempunyai lebih 400 pelabur dengan 80 peratus merupakan bumiputera. Bukit Merah Aquaculture Sdn Bhd boleh dihubungi di talian 05-8905997 dan emel: info@bmaquaculture.com.

Sumber : utusan online


P/s: Saya juga seperti Jamal Abdillah, sejak dulu amat meminati ternakan ikan dan jiwa rasa tenang apabila melihat ikan berenang-renang di dalam akuarium. Sehinggalah berminat menyertai pelaburan di BM.

Friday, April 16, 2010

Rezeki Si Ikan Kelisa

BAGAN SERAI 16 Dis. - Ikan kelisa atau nama saintifiknya arowana merupakan ikan hiasan yang menjadi kegilaan ramai orang.

Walaupun harganya mencecah ribuan ringgit seekor namun penggemar kelisa tidak kisah. Mereka akan tetap membelinya demi kepuasan diri.

Ramai yang akan garu kepala jika dimaklumkan bahawa harga anak ikan kelisa bersaiz antara tujuh hingga sepuluh sentimeter (cm) mencecah RM2,000. Paling murah harga anak ikan kelisa ialah RM12 seekor.

Salah seorang pengusaha ialah Ahmad Don, 55. Hasil usahanya, dia mempunyai sebanyak 1,400 ekor pelbagai jenis induk ikan kelisa.

Apa yang membanggakan, usaha gigihnya yang bermula sejak 2001 itu kini dalam proses untuk membina 680 buah kolam lagi di Kuala Kangsar dan sekitar Bukit Merah, dekat sini.

''Sebenarnya saya mula terlibat dalam penjualan ikan kelisa ini pada 1975. Masa itu harga seekor cuma RM12 tetapi kini harganya sangat memberangsangkan.

''Pada 2001 barulah saya serius menternak dan menjual ikan kelisa dengan membina sebanyak lima buah kolam. Malangnya, oleh kerana tiada pengalaman saya rugi bila banyak induk ikan kelisa mati waktu itu," katanya di sini baru-baru ini.

Pada penghujung 2002, katanya, barulah dia dan rakan kongsinya mengetahui punca kematian ikan tersebut.

''Rupa-rupanya ikan induk itu mati disebabkan air kolam bercampur dengan air dari luar kolam. Jadi, selepas dua tahun rugi barulah kami merasa hasilnya sampailah sekarang," katanya.

Bagi menternak ikan kelisa, kata Ahmad, seseorang itu perlu membeli lima induk jantan dan sepuluh induk betina bagi setiap kolam supaya menghasilkan anak ikan kelisa yang banyak dan berkualiti.

''Harga induk ikan kelisa bergantung kepada jenisnya, kalau kelisa Malaysian Gold, harganya ialah RM14,000.

''Tetapi hasilnya memang cukup lumayan. Setiap dua bulan sekali kita akan tuai anak ikan. Jadi kiralah sendiri kalau dalam tempoh itu kita boleh dapat sehingga 200 anak ikan kelisa Malaysia Gold yang setiap ekor bernilai RM2,000," katanya.

Selain ikan kelisa Malaysian Gold, Ahmad turut menternak kelisa Green Base, Chilli Red, Super Red, Banjar Red serta High Back yang jumlah jualan secara keseluruhannya kini adalah 20,000 ekor setahun.

''Syarikat saya mensasarkan untuk menjual sehingga 30,000 ekor setahun pada tahun depan. Buat masa ini, kita sudah menembusi pasaran antarabangsa iaitu Singapura, China, Jepun, Vietnam dan Thailand.

Sementara itu, seorang lagi penternak, Zailani Osman berkata, hasil ternakan ikan kelisa memang cukup lumayan dan menguntungkan.

''Berdasarkan pengalaman saya, hasil bagi separuh kolam ikan kelisa adalah sama dengan hasil kelapa sawit seluas 24 hektar.

''Pasaran memang cukup bagus, kadang kala kita sudah dapat tempahan awal bernilai ratusan ribu ringgit. Jika penternak bernasib baik, mereka sudah boleh untung dalam tempoh tidak sampai setahun," katanya.

Rakannya, Mat Latip Mohd. Amin pula memberitahu, walaupun hasil ternakan ikan kelisa amat lumayan, ia tetap memerlukan komitmen tinggi untuk menjayakannya.

''Kita mesti tahu cara-cara membela ikan kelisa dengan betul termasuk pemakanan serta pengambilan benih anak ikan bagi mengelak kerugian.

''Apa yang menarik, ikan kelisa yang diternak di sini mempunyai kualiti lebih baik berbanding kawasan lain kerana ikan kelisa khususnya Malaysian Gold berasal dari Tasik Bukit Merah," katanya.

sumber: Utusan online

P/s: En. Ahmad Don, pengusaha Bukit Merah Aquaculture Sdn Bhd, syarikat tempat saya melabur.

Saturday, December 5, 2009

Lawatan 1 dan Tinjauan ke BM

Jutawan Arowana:

Selepas mendapat maklumat dan nombor untuk dihubungi di Bukit Merah, saya mengambil keputusan untuk pergi ke Bukit Merah. Pada lawatan pertama itu, pihak syarikat di sana menunjukkan dan menerangkan dengan terperinci A to Z tentang ternakan arowana yang mereka usahakan. Oleh itu, saya postkan gambar-gambar semasa lawatan saya ke sana.


Bilik Inkubator

Bilik ICU atau inkubator. Di sinilah ditempatkan anak arowana dan yolk.

En. Shahibol menunjukkan sebahagian daripada anak arowana dan yolk yang sedang menunggu saat matang.

Yolk arowana yang dikeluarkan dari mulut ikan jantan akan dimasukkan ke dalam inkubator. Inkubator ini persekitarannya direka khusus agar sama seperti di dalam mulut arowana jantan.

Sedang melihat dan memerhati yolk arowana dengan penuh minat ;). Yolk akan disimpan di dalam inkubator ini selama 55 hari selepas proses harvest.

Anak-anak arowana bersama yolk.


Tekun mendengar penjelasan tentang arowana daripada orang yang berpengalaman.

Proses Harvest atau menuai hasil


Semasa lawatan saya, pada hari itu kebetulan ada seorang pemilik kolam yang akan menuai hasil atau harvest (iaitu proses mengeluarkan anak ikan dan yolk dari mulut arowana jantan). Oleh itu saya dapat melihat prosesnya.

Inilah antara kolam-kolam yang terdapat di Bukit Merah. Dijaga dengan rapi dan teratur ;).

Semasa proses harvest, pekerja pekerja akan masuk ke dalam kolam dan menghalau arowana ke tepi kolam.


Kemudian, pekerja akan menangkap arowana satu persatu untuk memeriksa mulut sama ada terdapat yolk atau tidak. Biasanya seekor arowana jantan boleh menyimpan 20 - 50 yolk dalam satu masa.


Pekerja sedang memeriksa mulut arowana jantan. Pada hari itu, pemilik kolam tersebut berjaya mendapat 39 yolk daripada seekor arowana jantan.

Gambar Kenangan

Bergambar bersama motor berkuasa besar pemilik syarikat itu.

Mengambil gambar juga bersama kereta BMW pemilik syarikat.

Inilah lawatan pertama saya ke Bukit Merah. Nanti saya akan berkongsi lawatan ke-2 semasa sesi menandatangani perjanjian.

Friday, November 27, 2009

Selaut pengalaman

Arowana antara ikan termahal di dunia.

Jutawan Arowana:

Bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif M U Arowana Aquaculture En. Shahibol Anuar Arba'e

Ikan Arowana merupakan antara ikan termahal di dunia dan mendapat semakin berkembang di sekitar kawasan Bukit Merah, Perak. Pada masa kini terdapat lebih kurang 37 buah syarikat yang menternak arowana dan sebilangan kecil sahaja syarikat dimiliki oleh bumiputera. Antara syarikat bumiputera yang menjalankan operasi menternak dan membiak ikan arowana adalah Bukit Merah Aquaculture, M U Arowana Aquaculture dan lain-lain yang berhampiran Bukit Merah, Perak.

Mari kita ikuti pengalaman Ketua Pegawai Eksekutif M U Arowana Aquaculture tentang potensi ikan Arowana ini. Boleh juga baca di sini.

Sekilas Arowana di Bukit Merah

Ternakan ikan arowana merupakan industri ikan hiasan yang semakin mendapat permintaan yang tinggi. Ketua Pegawai Eksekutif M U Aquaculture, Sahibol Anwar Arba’e berkata semuanya bermula dengan minat terhadap ikan hiasan paling mahal di dunia itu.

“Ketika itu saya mula membeli ikan arowana gold dengan harga RM2,000 seekor dan selepas beberapa bulan nilainya meningkat sehingga RM7,000 seekor.

Telur yang telah disenyawakan akan dikutip oleh ikan jantan yang akan mengeram selama dua bulan di dalam mulut sebelum diluahkan apabila anak-anak mula berenang sendiri.

“Pada masa itu saya menyedari ternakan ikan hiasan arowana berpotensi besar untuk dimajukan selain menguntungkan,” katanya yang sebelum ini banyak menceburkan diri dalam perlbagai jenis perniagaan.

“Dalam tempoh berkenaan, ikan jantan akan ‘berpuasa’ sehingga anak-anak dilepaskan pada tempat-tempat berlainan bagi mengurangkan risiko pemangsa,” katanya. Bagaimanapun bagi tujuan komersial, mulut ikan akan diperiksa setiap dua bulan bagi mengeluarkan anak-anak dan diletakkan di dalam inkubator yang lebih kurang sama keadaannya seperti dalam mulut induk.

Yolk arowana di masukkan ke dalam inkubator.

Mengkaji mengenai habitat arowana pada awal 2006, Sahibol memulakan projek ternakan dengan membina lapan buah kolam dengan keluasan 20 kaki x 50 kaki.

Pada pertengahan tahun yang sama, beliau mula mengisi setiap kolam dengan enam ekor ikan jantan dan 10 betina.

Ikan arowana bertelur setahun sekali selepas usia matang biasanya antara dua hingga tiga tahun dan semasa proses berkenaan ikan akan berpasangan sehingga masa mengeluarkan telur dan sperma.

Biasanya induk jantan boleh menjaga antara 20 hingga 60 ekor anak di dalam mulutnya pada satu-satu masa.

Sahibol berkata, bagi pasaran tempatan anak-anak ikan yang boleh berenang sudah boleh dijual.

Syarikat akan memberikan penekanan dalam menternak tiga jenis arowana iaitu Malaysia gold arowana, red arowana dari Kalimantan dan Indonesia gold.

Harga seekor anak ikan arowana bersaiz tiga inci iaitu Malaysia red gold adalah RM1,600 hingga RM2,000, red arowana RM1,200 hingga RM1,500 dan Indonesia gold adalah RM500.

Harga seekor induk matang boleh mencapai sehingga puluhan ribu ringgit.

Menyentuh mengenai aspek pemakanan, Sahibol berkata, arowana memakan anak ikan seluang selain makanan tambahan seperti udang, cengkerik, katak dan lipan dua kali sehari.

“Ikan arowana sebenarnya tidak sukar dijaga tetapi disebabkan harganya yang mahal, ramai yang menyangka ia memerlukan penjagaan yang rapi,” katanya.

“Ikan arowana amat unik dibanding dengan ikan-ikan hiasan lain kerana ia membiak secara semula jadi dan tidak memerlukan bantuan manusia seperti teknik aruhan. Malah ikan arowana adalah haiwan akuatik yang dilindungi kerana mengalami ancaman kepupusan,” katanya.

Sehingga kini M U Arowana Aquaculture beroperasi di atas tanah seluas 5.2 hektar (13 ekar) yang menempatkan 99 buah kolam.

Sahibol berkata, pihaknya mensasarkan untuk membina 100 kolam lagi pada tahun ini.

“Kami juga menitikberatkan masalah keselamatan dan penyelenggaraan dengan pemantauan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

“Ini bukan saja untuk tujuan keselamatan kerana harga ikan yang mahal tetapi bagi memastikan keselesaan ikan jika bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba,” katanya.

Apa yang lebih menarik M U Arowana Aquaculture juga menawarkan skim perkongsian keuntungan bagi peminat ikan arowana yang mempunyai modal tetapi kurang pengetahuan.

“Di sini, mereka boleh melabur selama lima tahun dengan membeli ikan induk untuk satu kolam dan kami akan menjalankan segala tugas penyelenggaraan dan pengurusan. Keuntungan yang diperoleh akan dibahagi dua antara pelabur dan pengusaha sehingga tamat tempoh kontrak,” katanya.

Bercerita mengenai arowana, kata Sahibol, ikan ini hanya bertelur setahun sekali dan tiada masalah bekalan berlebihan dan harganya tidak pernah jatuh.

Memandangkan permintaan yang tinggi dari negara-negara seperti Jepun, China, Taiwan, Kanada, Hong Kong, Eropah dan India, pengeksport perlu mendapat kelulusan Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) yang diluluskan oleh 72 negara.

Di bawah CITES, ikan arowana disenaraikan sebagai ikan yang dilindungi berkelas tinggi dan perlu ditanam cip di bawah kulit untuk tujuan eksport bagi pengenalan. Fosilnya membuktikan ikan berkenaan tahan lasak sehingga boleh hidup dengan baik sehingga ke hari ini.

P/s: Nanti saya akan berkongsi pula lawatan pertama saya ke Bukit Merah ye. Dan bertuahnya pada hari itu ada proses menuai hasil atau harvest seorang pemilik kolam.